Friday, December 10, 2010

Mengenali Aman Palestin Terengganu

           Aman Palestin Terengganu merupakan cawangan Aman Palestin Berhad yang mula beroperasi pada 1 Ramadhan 1431H. Segala usaha dan kerja yang dilaksanakan oleh Aman Palestin Terengganu adalah dalam rangka menjayakan semua visi, misi, objektif dan aktiviti Aman Palestin Berhad.
           Di negeri Terengganu Darul Iman segala usaha-usaha tersebut diselaraskan oleh sebuah jawatankuasa seperti berikut -: Pengerusi – Ustaz Engku Omar Amiruddin bin Engku Ali, Timbalan Pengerusi – Haji Jamil bin Sakmin, Pengurus – Ustaz Mohammad Sirojul Afkar bin Hamid (Staf Sepenuh Masa), Wan Norisah binti Wan Musa, dan Ustaz Fakhrudin bin Abdul Rahman (Dungun)
           Aman Palestin mula beroperasi pada akhir 2004 sebagai inisiatif untuk membantu dan menyalurkan sumbangan serta menjaga kebajikan dan hak kemanusiaan rakyat Palestin. Aman Palestin sentiasa berusaha memastikan setiap ringgit yang didermakan oleh rakyat Malaysia tidak sahaja sampai malah kesemua bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin di Palestin. Pada 3hb. Januari 2006, pendaftaran Aman Palestin telah diluluskan secara rasmi dibawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan nama AMAN PALESTIN BERHAD sebagai sebuah syarikat yang tidak berteraskan keuntungan (non-profit organisation) bagi membantu rakyat Palestin secara kolektif, terancang, berterusan dan berkesan.
           Semenjak ditubuhkan, Aman Palestin telah berjaya menyalurkan bantuan dalam bentuk projek-projek kepada rakyat Palestin di Palestin, Lubnan dan Syria hasil kutipan dan sumbangan daripada orang ramai. Diharapkan agar keperihatinan yang berterusan oleh rakyat Malaysia dalam menyalurkan bantuan dapat memberikan sinar harapan dan membantu meringankan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin.

                            VISI

           Menerapkan kesedaran dan keinsafan dalam hati sanubari umat Islam di Malaysia untuk membantu saudara mereka di Palestin sebagai satu ummah yang bersaudara, dan kepada yang bukan Islam sebagai rasa kemanusiaan yang tidak terbela sehingga kini.

                            MISI

           Membina projek yang nyata di dalam pelbagai bidang di bumi Palestin untuk membantu mereka membina masa depan dan meneruskan kehidupan, disamping menampung keperluan-keperluan segera yang diperlukan.

                          Objektif

Antara matlamat utama ialah:
  • Memberikan kesedaran masyarakat berkaitan isu Palestin.
  • Mendapatkan dan mengumpulkan dana serta menyalurkan bantuan.
  • Menjalinkan hubungan dengan badan-badan kemanusiaan dalam dan luar negara.
  • Bekerjasama dengan badan-badan kerajaan dan NGO.
  • Merancang aktiviti secara bersepadu.
  • Menganjurkan siri-siri forum perbincangan.
  • Menerbitkan dan mengedarkan bahan-bahan sebaran am.

                          Aktiviti

           Bagi memastikan objektif penubuhan Aman Palestin tercapai, pelbagai program dan aktiviti diadakan sama ada di Palestin atau kem-kem pelarian Palestin yang terdapat di Lubnan dan negara sekitarnya. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dan akan dijalankan secara ringkasnya adalah seperti berikut:
  • Pembinaan Rumah Anak-Anak Yatim Palestin. Projek ini adalah satu usaha membangunkan rumah anak-anak yatim Palestin yang berada di Palestin ataupun di kem-kem pelarian mereka.
  • Bantuan Pelajaran Pelajar-Pelajar Palestin. Iaitu menyediakan bantuan pelajaran untuk pelajar-pelajar Palestin yang berada di dalam Palestin dan di kem-kem pelarian mereka.
  • Bantuan Sara Hidup Yatim Palestin. Projek ini bertujuan menyediakan bantuan sara hidup untuk anak-anak yatim Palestin yang berada dalam kemiskinan dan kemelaratan. Sehingga kini, Aman Palestin menguruskan bantuan sara hidup anak yatim di dalam Palestin dan Lubnan.
  • Projek Pembiayaan Keluarga Miskin dalam Palestin.
  • Projek Pertanian Sara Diri di Nablus.
  • Projek Berbuka Puasa. Menyediakan makanan berbuka puasa untuk pelarian, anak-anak yatim dan masyarakat Palestin.
  • Bantuan Perubatan Palestin. Bekalan ubat di Palestin tidak mencukupi ekoran sekatan Amerika dan sekatan apartheid Yahudi. Oleh itu projek ini adalah penting untuk menyediakan bekalan ubat yang diperlukan oleh rakyat Palestin.
  • Projek Qurban Aidil Adha Palestin. Projek ini adalah untuk membekalkan daging korban untuk pelarian, anak-anak yatim dan masyarakat Palestin sempena Hari Raya Aidil Adha.
  • Bantuan Hari Raya. Membekalkan makanan dan pakaian yang diperlukan oleh pelarian, anak-anak yatim dan masyarakat Palestin untuk menyambut Hari Raya.
  • Projek Ambulans bagi Klinik Hamzah.
  • Projek Pusat Kegiatan Anak-Anak Yatim.

          Selain aktiviti-aktiviti dan projek di atas, Aman Palestin juga terlibat dalam melaksanakan projek-projek lain seperti Kafah Ibu Tunggal, Projek Puasat Latihan, Projek Pembinaan Pusat al Quran, Projek Pembangunan Sekolah Untuk Anak-Anak Pelarian dan Yatim Palestin, Projek Bantuan Pakaian & Beg dan Projek Pakaian Musim Sejuk.

                            Kerjasama

           Aman Palestin menjalankan kerjasama dengan institusi-institusi kerajaan, institusi swasta, syarikat korporat, sekolah-sekolah, masjid-masjid, badan-badan kebajikan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO's) di dalam dan luar negara bagi mencapai objektifnya.

                             Penutup
           Kerjasama daripada semua pihak untuk menjayakan cita-cita suci lagi murni ini amatlah dihargai. Hanya ganjaran daripada Allah Ta'ala jua yang selayaknya dan kami bagi pihak rakyat Palestin yang amat-amat memerlukan bantuan mengucapkan jutaan terima kasih.
                                           AMAN PALESTIN

Kemana anda boleh salurkan secara terus sumbangan dan derma anda?
Dana Sumbangan & Derma
Bank Islam (M) Berhad:
12029010047880
Maybank (M) Berhad:
562263010787

Dana Sumbangan Pengurusan
Bank Muamalat (M) Berhad:
12070005133717
Bagi sumbangan dalam bentuk barangan yang boleh dijual beli untuk disumbangkan ke tabung Palestin, anda bolehlah menghubungi pejabat untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Sebarang MoU, perjanjian, usahasama, serta kerjasama ke arah penyumbangan dalam bentuk nilai yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Palestin dan kebebasan Palestin amat kami harap & alu-alukan. Segala usaha ke arah kebaikan ini hanya Allah saja yang layak membalasnya.

Thursday, December 9, 2010

Syukur Alhamdulillah

Assalamu alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah dan bersyukur kepada Allah SWT dengan izinNya sebagai permulaan blog ini dapat di siapkan. Ia akan menjadi perantara di antara Aman Palestin Terengganu dengan anggota masyarakat Malaysia dan khususnya masyarakat di negeri Terengganu. Terima kasih dan jazakillahi khairan kathira kepada Atiqah Solehah yang banyak membantu Moderator dalam menyediakan blog ini untuk tatapan anda semua. Semoga Allah SWT mengira amal kita ini sebagai amal soleh yang diberi ganjaran pahala di akhirat nanti.

Saya sebagai moderator blog ini mengucapkan selamat datang kepada anda semua untuk melayari blog ini bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan semasa mengenai keadaan dan situasi umat Islam khususnya masyarakat Islam di Palestin. Dengan ini kita sama-sama dapat memberikan bantuan dan sumbangan dalam usaha meringankan penderitaan hidup mereka. Ini selaras dengan maksud hadis Nabi yang memerintahkan kita untuk mengambil tahu dan memberi perhatian kepada saudara seislam kita.

"Barangsiapa yang tidak mengambil peduli keadaan orang Islam, bukanlah ia dari kalangan kami"

Keimanan dan keislaman kita menuntut supaya kita menjaga dan memelihara tangggungjawab kita kepada saudara seislam kita yang menerima bencana dan musibah diseluruh dunia khususnya masyarakat Islam Palestin. Allah SWT telah berfirman dalam Al Quran yang bermaksud

" Sesungguhnya hanyasanya orang-orang yang beriman itu bersaudara  .............."

Oleh itu marilah kita sama-sama menunaikan tanggungjawab dan hak-hak saudara seislam kita yang lain sama ada melalui sokongan moral, malalui harta, melalui tenaga, melalui pemikiran ataupun doa kita kepada mereka.

Sekian. Wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Moderator Aman Palestin Terengganu
10 Disember 2010 bersamaan 4 Muharram 1432